Selasa, 11 November 2008

Islam

Islam Masalah Semasa



PELBAGAI peristiwa yang berlaku di merata tempat yang kini dijadikan isu pelbagai pihak untuk ditegakkan, menarik minat saya untuk direnungkan. Saya akan menjadi neutral, yang tetap bertegas memilih konsep Islam yang sebenar. Isu tudung di Perancis, merebak dengan tidak semena-mena di Malaysia. Mengambil hujah Dr Tantawi, Astora Jabat terus menghukum tudung tidak diwajibkan! Dulu kecoh dengan tiada azab di kubur, kali ini Astora Jabat terus dengan prejudis yang salah tentang Islam. Menarik untuk dikongsi bersama, Dato Zainudin Maidin dalam kenyataan akhbar Utusan Malaysia, mengatakan tidak salah Astora menyampaikan pendapatnya untuk kita menerima dalam era perubahan. Siapa Zainudin ini, anda semua kenal dan tahu. Jadi, kita beranggapan keberanian Astora sebenarnya dibayangi oleh pimpinan kerajaan dan dijamin haknya. Dimana silapnya yang berlaku. Isu hukum bertudung yang sebenarnya umum mengetahui, cuba dimainkan semula oleh Astora untuk dikormesialkan (Astora merupakan ketua pengarang Al Islam sekarang). Kebanyakan orang awam, akan sedikit sebanyak direntap dan mungkin yang menyokong jika kerajaan atau ulama' sekeliling terus berdiam diri.

Hari Memperingati Kekasih yang disambut 14 Februari masih lagi bergiat cergas di Malaysia. Yang sedihnya, keterlibatan adalah dari kalangan muda-mudi Islam, sudah berbuih mulut kalangan mufti mencegahnya, namun apakan daya, promosi di media massa amat berleluasa. Apakan daya, pengaruh massa tidak dapat menutup dari terus berleluasa sambutan ini. Tidak perlu saya menghurai panjang lebar tentang sejarah Valentine dan kita semua tahu peristiwa tersebut.

Konsert Mariah Carey yang mulanya malam Muharam, kini diawalkan dua hari, kononnya untuk menghormati umat Islam. Yang menjadi persoalan, konsert diubah kerana penundaan di Beijing, jika di sana tidak ditunda, mungkin akan diteruskan. Manakala, sikap penganjur yang sebenarnya perlu mengetahui hari tersebut bukannya menunggu bantahan dari pelbagai pihak. Seharusnya sikap berwajib tidak melepas pandang terhadap segala aktiviti yang bertentangan dengan nilai moral budaya timur dan gejala sosial yang semakin meningkat. Bukan mencegah, tapi melakukan mungkar.

Segala yang dipaparkan bukan sahaja perlu kita sama-sama ketahui, malah kita merenungi dengan mata hati kita, kesedaran dan pengamalan segala ilmu kita untuk dipraktikkan, bukan sekadar belajar tanpa amal, bahkan mengetahui apa sebenarnya disebalik yang berlaku di sekeliling kita. Kita bukan ahli kasyaf untuk mengetahui susur galur sesuatu kejadian, namun kudrat kita yang belajar ilmu, akan dapat merungkai masalah yang berlaku. Namun sejauh mana kekuatan diri kita, sahabat kita, dan juga kita sendiri untuk berdepan dengan masalah yang akan sentiasa berlaku selagi undang Islam tidak dipraktikkan.

Tertarik dengan masalah asas negara kita, perlaksanaan undang Islam. Menurut kenyataan Mufti Perak, Dato Harussani Zakaria, Pelaksanaan undang-undang Islam, termasuk hudud, tidak boleh ditangguhkan walaupun atas alasan keadaan ekonomi negara yang belum mantap.

"Sekarang kita terlalu menggunakan pemikiran sehingga mengabaikan atau memperlecehkan hukum Islam, seolah-olah menganggap Tuhan tidak pandai. Di mana kita letakkan sifat kamalat Tuhan?" soalnya lagi.

"Kita tidak boleh menangguhkannya dan memberikan pelbagai alasan kerana dengan berbuat demikian, seolah-olah menyatakan hukum yang ditetapkan oleh Tuhan itu tidak betul," tegasnya.

Menyentuh pendapat yang mendakwa perlaksanaan hudud perlu dilaksanakan peringkat demi peringkat, Harussani berkata, proses itu telahpun berlaku di zaman Rasulullah, sambil memberikan contoh pengharaman arak dijalankan tahap demi tahap.

Mengulas pandangan yang menyatakan hudud boleh ditangguhkan berdasarkan fiqh awliyyat, Harussani berkata kaedah itu hanya sesuai untuk memikirkan keutamaan dalam membangunkan negara.

"Misalnya, jika difikirkan bidang pendidikan dan ekonomi perlu diutamakan, maka pembangunan dalam bidang berkenaan perlu disegerakan terlebih dahulu.

"Bagaimanapun dalam pelaksanaan hukum jenayah, hudud sudahpun ditetapkan sebagai hukum. Malah fiqah keutamaan itu sendiri pun adalah satu ijtihad terakhir dan bukan sebahagian hukum syarak," katanya.

Menghuraikan pelaksanaan hukum Islam semasa keadaan ekonomi teruk, khususnya bila berlaku banyak kes pengangguran dan kebuluran, beliau berkata, ketika itu keadaan dianggap darurat, dan hukum berubah apabila berlaku darurat.

"Pihak berkuasa wajib melaksanakan hudud, tetapi ada kalanya sesuatu hukuman tidak dilaksanakan kerana darurat. Contohnya, hukuman potong tangan kerana mencuri tidak dijalankan ke atas seseorang yang mencuri kerana lapar," tambahnya.

Mengulas dakwaan hudud dianggap kejam, Harussani menafikannya sambil berkata, hukuman yang ditetapkan di sesetengah negara jauh lebih zalim.

Lagipun, katanya, tidak ramai yang dipotong tangan kerana mencuri sejak zaman Rasulullah. Malah hukuman rejam bagi penzina hanya dilakukan bagi orang yang membuat pengakuan.

"Apa hak kita untuk menahan pelaksanaan hukum Tuhan dengan memberi pelbagai alasan? Contohnya, mengapa kita tidak dapat menjalankan hukuman sebat ke atas penzina, sedangkan hukum sebat ke atas penjenayah sekarang lebih zalim berbanding sebat cara Islam.

"Sebatan dalam Islam tidak memudaratkan seperti yang ada sekarang. Sebaliknya ia dilakukan di khalayak ramai untuk mengaibkan pesalah," hujahnya lagi.

Harussani akhirnya menyimpulkan, dari segi dasar umum, mengingkari hukum Tuhan adalah murtad, dan mereka yang tidak percayakan hukum Tuhan adalah kafir, manakala yang tidak mahu menjalankannya adalah fasik.

Malah, tegas beliau, secara umumnya hukum Tuhan tidak boleh ditangguhkan kerana ia tidak seperti undang-undang adat yang perlu diwartakan terlebih dahulu atau diminta persetujuan daripada raja untuk dikuat-kuasakan.

"Perintah tersebut bukan ditentukan Nabi SAW tetapi Allah dan wajib dilaksanakan. Bermakna hukum tersebut berjalan serta merta," tegasnya.

Maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyebarkan Islam yang sebenar. Kita yang akan menjadi duta untuk menjelaskan segala yang berkaitan dengan Islam, baik dari segi hukum, ekonomi, masalah semasa, jenayah dan apa sekalipun, bermakna tugas kita memang sudah lama bermula. Ayuh!

0 komentar:

Template by:
Free Blog Templates