FIQH MASULIYAT: TUNTUTAN DAN TANGGUNGJAWAB MUSLIM
________________________________________
Kita mengetahui dan umum mengetahui, setiap orang dipundakkan ke atas bahu mereka taklifan atau tanggungjawab. Baik untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat bahkan sesebuah negara. Firman Allah yang bermaksud " Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas pimpinan kamu". Masuliyat disini, merujuk kepada taklifan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan yang meliputi empat aspek utama; Individu, Kemasyarakatan, Politik dan Amal Islami. Ia mengandungi ciri-ciri taklifan yang diamanahkan, serta akan diberi balasan sama ada kebaikan mahupun kejahatan di atas setiap taklifan tersebut. Jika kita mengajak kepada keredhaan dan kebaikan, InsyaAllah balasan baik akan kita perolehi begitu juga sebaliknya. Yang penting, asas dan sumber sesuatu masuliyat merujuk kepada Al Quran dan As Sunah. Firman Allah " Taatilah perintah Allah dan Taatilah perintah Rasul, serta pemimpin kamu (yang beriman), jika kamu berselisih di atas sesuatu perkara, maka kembali kepada Al Quran dan As Sunah".
1. Individu (syaksiah)
Asas yang perlu diketahui adalah seseorang individu berasa amanah pada diri sendiri atas segala yang menjadi kewajipan, tidak perlu kepada pihak yang lain menyuruh atau menegur melakukan perkara tersebut. Contoh yang terdekat, kita tidak memerlukan polis atau hakim untuk menyuruh kita melakukan kebaikan dan mencegah jenayah sebaliknya kita sendiri yang berasa amanah dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas diri kita. Begitu juga dengan peraturan yang sudah termaktub adalah menjadi kewajipan kita mematuhinya. Apatah lagi, hukum dan peraturan yang telah digariskan oleh Islam, tidak seharusnya kita mengabaikan tanggungjawab kita meletakkan kepercayaan dan tidak pesimis apa yang telah diturunkan
oleh Allah.
Pembinaan akhlak yang baik juga merupakan kewajipan seluruh individu untuk dipraktikkan. Akhlak yang baik, peribadi yang mulia dan bertaqwa kepada Allah, merupakan ciri yang perlu ada pada setiap muslim yang beriman kepada Allah. Taklifan ini bukan Allah pinta daripada kita semata-mata, tetapi kita sebagai hambaNya yang dituntut untuk mendapat keredhaan Allah. Seluruh nabi dan rasul diutuskan oleh Allah untuk membina akhlak yang mulia khususnya Nabi Isa AS yang Allah utuskan untuk membina akhlak dikalangan Bani Israel. Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, yang bermaksud " Adalah akhlak Rasul SAW akhlak Al Quran". Juga hadis yang bermaksud " Sebaik-baik kejadian adalah akhlak yang baik".
Antara sifat yang perlu ada setiap individu adalah berasaskan perkara di bawah :
1. Meninggalkan perkara kemaksiatan dan melakukan perkara ke arah kebaikan dan ketaqwaan.
2. Bersifat mulia dan mengajak atau menyeru orang melakukan amar ma'ruf nahi munkar.
3. Berbuat baik sesama manusia dan bekerjasama di dalam amalan taqwa dan kebaikan.
Mendahulukan 'meninggalkan' dari 'melakukan' dalam perkara pertama merupakan asas kepada setiap muslim didalam membentuk diri.
2. Kemasyarakatan (Ijtimaie)
Tanggungjawab yang perlu ada di dalam membentuk masyarakat adalah meliputi ciri-ciri dunia dan akhirat. Keseimbangan antara individu dan masyarakat, dunia dan akhirat, bersifat ke arah kebaikan merupakan taklifan yang perlu dilaksanakan pada masyarakat tersebut. Umum mengetahui, sistem kapitalis yang diperkenalkan merupakan kekuasaan individu semata-mata tanpa disitu memerlukan masyarakat sekeliling. Begitu juga dengan masyarakat yang hanya mempunyai ciri-ciri dunia semata-mata dengan meninggalkan akhirat, tidak dapat membina masyarakat yang beriman kepada Allah. Kita melihat pelbagai sistem di dunia, sebenarnya mengundang masalah selagi tidak bertunjangkan Islam sebagai sumber yang utama. Menjadi masalah kepada kita, negara-negara Islam masih lagi mengamalkan sistem buatan manusia seperti Karl Marx yang mengasaskan sosialis dan komunis, tetapi kenapa tidak menjadikan negara Islam Madinah yang dipimpin oleh Rasul SAW sebagai role model?
Menjadi kewajipan kepada seluruh ahli masyarakat untuk melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang
dilarang perlu dipergiatkan. Usaha-usaha ke arah kebaikan dan ketaqwaan perlu digarapkan untuk kita sama-sama memikul amanah ini supaya nanti tidak dipersoalkan oleh Allah di atas tanggungjawab yang telah diberikan kepada kita seluruh umat Islam.
3. Politik (Siyasah)
Islam sebenarnya tidak lari dari lingkungan politik. Sekeliling kita, keadaan kita sebenarnya adalah politik. Zaman Rasul SAW, politik adalah mewujudkan negara Islam dan membuka kembali Mekah. Zaman Umar Al Khatab (sekadar menyebutkan beberapa sahaja), politik adalah mengawal dan menguasai Baitul Maqdis dari dirampas oleh Yahudi. Salahudin Al Ayubi, merampas kembali kota Baitul Maqdis dari Yahudi. Semua ini merupakan cabang politik di dalam Islam. Jika tidak menggunakan pendekatan politik, amat sukar untuk berdepan dengan musuh. Helah dan sebagainya merupakan senjata politik.
Islam tidak pernah mengabaikan hak umatnya untuk menguasai dunia. Menjadi kewajipan kita, mengikut dan berpegang kepada pertubuhan yang mahu menegakkan Islam. Tanggungjawab kita adalah menegakkan kalimah Allah. Hari ini, cara setiap negara berbeza-beza. Untuk menegakkan kembali Khalifah Islamiyah, setiap negara perlu kepada cita-cita mendaulatkan Islam. Amanah kita kepada Allah adalah melaksanakan segala perintah dengan mengikut suasana keadaan sesebuah negara.
3. Amal Islami (Al A'mal Li Ajli Al Islami)
Meletak agama Allah ditempat yang sepatutnya, bukan diperintah bahkan memerintah adalah asas masuliyat di dalam amal islami. Kekuasaan dan pemerintahan merupakan visi untuk meletak kembali agama Allah di muka bumi ini. Tetapi yang menjadi masalah, kita masih lagi pesimis dengan kebenaran agama Allah ini. Umat Islam masih lagi gagal, takut, tidak percaya dengan pendekatan Islam yang diakui kebenarannya. Kita melihat Israel (Yahudi), setelah peristiwa dihalau dari Madinah serta peristiwa pembakaran beramai-ramai puak yahudi oleh Hitler (Hocolus), merancang dan membina sebuah Israel milik mereka di Palestin sekarang. Mereka membina negara haram tersebut dengan sumber yang tidak sahih disisi Allah, sumber yang sudah lari dari yang sebenarnya dan diakui oleh agamawan mereka, maka kita yang mempunyai sumber yang sahih dan tepat iaitu Al Quran, masih lagi pesimis. Kenapa hal ini boleh terjadi? Mungkin jawapan ada disebalik perkara yang akan disebutkan nanti. Kita seharusnya meyakini kekuasaan Allah, kehendak Allah dan janji Allah. Tidak seharusnya kita masih lagi membicarakan benda yang sememangnya mutlak milik Allah. Tugas kita melaksanakan sahaja perintah. Itu
sahaja.
Enam perkara yang digariskan untuk mencapai Amal Islami, menyedarkan umat Islam yang perlu ada pada setiap individu muslim.
1. Dakwah
Tugas seseorang muslim menjadi daie untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menerangkan kepada orang ramai tentang Islam. Kita seharusnya menunjukkan nilai norma Islam yang sebenar dan menerangkan dasar Islam secara menyeluruh agar tidak diperlekehkan baik dari orang Islam sendiri atau penganut lain.
Tugas kita juga menolak keraguan penganut agama lain tentang Islam, menyampaikan Islam sebagai agama yang benar dan
menerangkan kewajipan seseorang muslim.
2. Harakah (Gerakan)
Selepas kita terbabit dengan tugas daie, perlu kepada kita bergerak di dalam satu kumpulan. Bergerak di dalam satu pasukan Islam akan menjadi lebih sempurna dengan pembahagian tugasan. Kumpulan ini perlulah bergaul dengan orang ramai dan tidak menanam sikap membenci malah suka dengan orang ramai walaupun mendapat tentangan. Penyampaian kita seharusnya memberi kesan yang mendalam kepada orang ramai.
3. Tanzim ( Organisasi)
Setiap dakwah dan harakah perlu kepada tanzim untuk melicinkan pergerakan dan penyusunan. Mesti mempunyai amir disamping syura untuk melaksanakan gerakan agar lebih tersusun untuk menyampaikan agama Allah.
4. Tarbiyah (Pendidikan)
Setiap tanzim memerlukan sistem pendidikan yang sistematik. Penyusunan, memilih kalangan yang mahukan Islam, mengadakan perbincangan ilmiah, bersemuka menyusun gerakan adalah satu bentuk tarbiyah yang perlu dijalani untuk mencapai perkara yang disebut di atas tadi meliputi dakwah, harakah dan tanzim.
Ia juga mestilah sesuai dengan semua keadaan dan persekitaran. Antara wasilah yang biasa digunakan adalah rumah, masjid, sekolah, kelas dan lain-lain. Tujuh perkara atau benda yang dilaksanakan adalah nadwah (tadris, muhadarah), kursus, perkemahan, muktamar, rehlah, khatibah (seperti qiamulail, iftar jamaie) dan usrah.
5. Tamkin (Pelaksanaan)
Pelaksanaan hukum, undang-undang, sistem Islam merupakan hadaf yang paling tinggi selepas kita melaksanakan tugas dakwah, harakah, tanzim. Kelaziman kita mendengar, seseorang hanya menjalankan tugas tarbiyah semata-mata tanpa mempunyai cita-cita melaksanakan serta meletakkan agama Allah untuk dipraktikkan di muka bumi. Tidak salah menjalankan tugas tarbiyah seperti mendekatkan diri kepada Allah, tetapi kita mempunyai tugas lain yang lebih tinggi iaitu melaksanakan hukum Allah.
Satu perkara yang masih menjadi masalah umat Islam sekarang adalah masih membicarakan soal furuk dari membicarakan soal pokok. Menjadi kelemahan kita sebenarnya masih berbalah didalam perkara yang tidak sepatutnya kita meletakkan sebagai aula didalam menggerakkan Islam. Tugas kita sekarang adalah menghadapi ancaman musuh Islam bukan membicarakan soal tadi.
6. Muhafazah ala Tamkin (Memelihara)
Selepas kita sudah menjalankan tugas dan tanggungjawab, dapat melaksanakan hukum dan undang Islam, kewajipan kita selepas itu untuk memelihara dan sentiasa thabat menjaga Islam. Tugas ini amat berat berbanding kita berusaha tadi. Kelaziman apabila menguasai sesuatu, untuk thabat dalam perjuangan dan memelihara amatlah berat. Keadaan akan berbeza berbanding sebelumnya.
Kita perlu ingat, jika kita tidak menjaga dan memelihara Islam selepas kekuasaan, Allah akan memusnahkan seperti yang berlaku pada zaman Turki Uthmaniah yang Allah bencanakan selepas tidak memelihara unsur Islam di dalam pemerintahan. Akhirnya tumbang dan kita mendoakan agar akan wujud khilafah selepas ini.
Selasa, 11 November 2008
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar