KISAH KLASIK DI ZAMAN MODEN
oleh : Mohammad Hilmy Mahmad
MENDAPAT email semalam dari rakan di Malaysia menceritakan suasana di sana. Mungkin suka bercerita, maka banyak huraian yang disentuh dari banyak aspek. Saya tidak membalas email tersebut. Saya tidak sepertinya, kurang ingin bercerita. Jika bercerita, takut anggapan orang lain berlainan. Alam maya tidak sama dengan realiti. Orang boleh berkata apa sahaja berbanding realiti yang mungkin tidak berani bersemuka. Sebab itu sesetengah orang menggunakan alam maya sebagai pelepas marah, menghentam semborono, mengutuk apa sahaja bahkan menjadi medan permusuhan. Tidak mustahil, ramai yang suka berkeadaan begini. Bagi
mereka yang kurang arif tentang IT, mungkin tidak tahu bahawa mereka boleh dikenali melalui IP dan sebagainya melalui kemahiran tertentu. Saya ada belajar sedikit tentang kemahiran tersebut namun tidak semahir mana. Sebab itu, mana-mana agensi boleh mengetahui siapa yang menceroboh, menfitnah dan sebagainya dalam web mereka melalui cara ini. Kisah dulu juga pernah memaparkan ketika kerajaan Melayu Melaka jatuh ditangan Portugis akibat sikap hasad dan fitnah yang berleluasa. Akibatnya sosio negara berubah seperti yang berlaku sekarang. Jika tidak, Malaysia mungkin sudah terkenal.
Ada juga tanggapan sesetengah masyarakat Malaysia hari ini mudah terpedaya dengan kata-kata. Baik kata yang manis, mahupun kata-kata perangkap. Sebagai contoh, Pak Ali bersedia untuk turun padang mempertahankan dari difitnah oleh Pak Kadir. Pak Ali bersedia untuk memberitahu, bukan Pak Ali kata Pak Kadir jahat tetapi Pak Kadir yang kata Pak Ali kata Pak Kadir jahat kepada orang ramai. Siapa disini yang memainkan peranan untuk mempengaruhi orang lain atas perkara yang sengaja dimainkan? Perak, sebuah negeri Melayu yang lahir daripada zuriat raja Melaka, telah melakukan kesilapan. Sekali lagi masalah dalaman politik negeri
telah mengundang campur tangan kuasa Barat dan orang luar, sehingga memusnahkan kewibawaan dan kuasa politik mereka. Masalah perebutan kuasa, nafsu, dendam kesumat dan kepentingan peribadi, telah menjadi puncanya. Ketidakmampuan pemerintah pribumi mengawal masalah dalaman menjadi alasan untuk British menduduki negeri tersebut. Sultan Abdullah, Raja Ismail dan
Raja Yusof telah merebut takhta Perak kerana masing-masing memikirkan diri mereka lebih berhak, walaupun peraturan atau adat lembaga negeri telah disediakan sejak negeri itu diasaskan. Mereka menggunakan berbagai alasan untuk mencabar lawannya; dari segi pusingannya Sultan Abdullah sepatutnya menjadi Sultan, tetapi Raja Ismail pula memegang regalia kerajaan, maka beliaulah menjadi Sultan. Manakala Raja Yusof yang telah tersingkir sebelum 1871, pula mendapat sokongan sebahagian daripada pembesar. Sultan Abdullah yang dikatakan banyak berhutang kerana suka berjudi, akhirnya telah meminta bantuan saudagar British, yang
menyeret pemerintah British di Singapura untuk membantunya. Dengan itu naiklah baginda keatas takhta apabila perjanjian Pangkor 1874 ditandatangani.
Tidak ketinggalan, sesetengah masyarakat kita kini suka membandingkan dengan orang lain. Perilaku harian orang lain digunakan sebagai dalih kuat untuk mempertahankan diri walhal menyedari kesalahan. Ada yang cuba mencari kesalahan orang lain dan menjadikan hujah bagi mereka untuk melakukan perkara yang sama. Adakah kita tahu kita akan menjawab demikian di depan Allah kelak. Yakinkah kita Allah akan menerima hujah kita?. Menjadikan orang lain sebagai rujukan sebagai hujah mempertahankan diri sama sekali dengan falsafah Pak Pandir. Kelakuan mempertahankan kerakusan dalam mengejar dunia tidak ubah seperti alasan Pak Pandir. Sebagai alasan Pak Pandir kerana Pak Pandir menggunakan teknik yang serupa untuk menghiburkan Mak Andih yang kematian anak. Kata Pak Pandir, bukan anak kita saja yang mati, anak orang lain pun mati jugak.
Hari demi hari, kita masih lagi berbangga dengan sistem barat. Perilaku dan apa sahaja berkenaan Islam akan dikatakan jumud dan membataskan pergerakan. Itulah yang sebaiknya berbanding bebas tidak tentu hala. Teringat kisah kejatuhan dan keruntuhan kerajaan dan kepimpinan pribumi Melayu jatuh tersungkur dalam genggaman penjajah untuk beberapa dekad yang lalu. Sejak itu segala sistem politik, ekonomi dan sosial pribumi yang pernah berdiri agung di Malaysia, tidak berguna lagi. Kuasa penjajah Barat menggunakan dengan angkuh sistem politik dan ekonomi, bahasa dan kebudayaannya, sehingga sistem kebudayaan anak negeri
tersingkir ke tepi dan anak negeri menjadi hamba di negera sendiri. Dengan kesedaran politik dan kebangsaan, barulah ada kesedaran untuk memprotes penjajah dan akhirnya menuntut dan mendapat kemerdekaan pada tahun 1957. Sehingga kini, keyakinan diri kita masih rapuh kerana terlalu lama dijajah dan diperkecilkan kebolehannya. Malah masih ramai lagi yang masih menoleh ke Barat untuk mencari kekuatan mental dan spirituil.
Hasad dan dengki sudah sinonim dengan masyarakat kita. Saban hari kedengaran benda busuk ini berleluasa. Bukan sekadar kalangan masyarakat umum, termasuk juga kalangan kita, yang belajar agama. Tidak tahu badi atau tulah apa yang ditimpakan kepada kita, tetapi inilah realiti yang terus berleluasa. Kerajaan Temasik telah terbina daripada sebuah kampung nelayan Orang Laut, yang sanggup menerima seorang anak raja daripada Palembang untuk menjadi ketuanya. Namun, kerajaan asas ini telah termusnah kerana dendam seorang pembesar Sang Rajuna Tapa, yang tidak puas hati terhadap hukuman Sultan ke atas anaknya. Anaknya, yang
menjadi gundik Sultan telah disula kerana iri hati permaisuri dan gundik-gundiknya yang lain. Sang Rajuna Tapa membuka pintu istana untuk membiarkan hulubalang Majapahit menakluki Temasik. Sultan terpaksa lari dan Sang Rajuna Tapa terbunuh oleh tentera Jawa. Nyata sekali, dendam di dada telah mengorbankan kewujudan sebuah negeri.
Ini hanyalah sebahagian paparan yang dapat kita ambil iktibar. Ada lagi peristiwa dan kisah yang boleh kita jadikan untuk diteladani. Kisah sejarah bukan sekadar dibaca tetapi diambil iktibar untuk kita menghadapi kehidupan mendatang. Sebuah kisah akan selalu berulang dan terus berulang, mungkin kisah yang hadir disini sudah lali dan biasa, tapi akan terus berulang pada masa sekarang bahkan masa yang akan datang. Selamat mengkaji!
Selasa, 11 November 2008
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar