Yang Aneh dan Lucu
| Keanehan-keanehan Tukang Azan | Keanehan-keanehan Peminta Sedekah |
| Minta 70 Dulang Otak Manusia | Rahsia Alif, Lam, Mim Dalam Surat Khalifah |
Keanehan-keanehan Tukang Azan
yekh Syihabuddin Muhammad bin Ahmad di dalam kitabnya “Al-Mustatraf” menceritakan tentang peristiwa-peristiwa tukang azan, di antaranya:
( i )
Seorang muazzin telah ditegur kerana azannya terlalu perlahan: “Kami tidak mendengar suara azanmu, kuatkanlah sedikit.”
“Aku dapat mendengarkan suaraku dari jarak satu batu.” jawab si Muazzin.*
( ii )
Seseorang berkata bahawa dia melihat muazzin melaungkan azan, kemudian keluar dari masjid dan lari seperti mengejar sesuatu.
“Hendak kemana engkau?” tanya orang.
“Aku ingin mendengarkan azanku sampai kemana gemanya.” *
( iii )
Diceritakan pula bahawa ada dua orang lelaki telah bersengketa pasal seorang jariah. Kerana tidak ada yang mahu mengalah, kedua-duanya sepakat menumpangkan jariah itu kepada seorang muazzin. Pada sebelah pagi setelah berazan, tiba-tiba muazzin itu berkata: “La ilaha illallah....telah hilang rasa kepercayaan dari manusia.”
“Bagaimana rasa kepercayaan boleh hilang dari manusia?” tanya mereka.
“Ini buktinya.” kata tukang azan itu sambil menunjuk kepada jariah yang ditumpangkan kepadanya. “Jariah ini ditinggalkan kepadaku. Kata yang menumpangkannya dia masih perawan. Tapi setelah aku menggaulinya, ternyata dia sudah janda.”*
( iv )
Dikota Humas ada seorang tukang azan yang memekik-memekik pada pagi Ramadhan: “Bersahurlah kalian! Aku sudah menyuruhmu. Cepatlah makan, sebelum saya berazan. Allah akan menghitamkan mukamu.” *
Seorang berazan sambil melihat lafaz-lafaz azan yang ditulis pada sehelai kertas.
“Engkau tidak hafal azan?” tanya mereka.
“Jangan tanya kepada saya, tapi pergilah kepada Kadi.” jawab Muazzin itu.
Mereka pun pergi ke rumah Kadi dan mengucapkan: “Assalamualaikum, wahai tuan Kadi.”
Kadi tidak segera menjawab, tapi masih mengeluarkan sehelai kertas lalu dibacanya: “Wa alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh.”
Maka orang-orang surau itu pun datang kepada si Muazzin dan meminta maaf setelah mengetahui bahawa kadinya juga tidak hafal Assalamualaikum...” *
( v )
Seorang perempuan mendengar muazzin melaungkan azan Subuh setelah terbit matahari. Ketika sampai pada “Asshalatu khairum minannaum (Solat itu lebih baik daripada tidur), perempuan itu menjawab: “Tidur lebih baik daripada solat seperti sekarang ini.”
^ Kembali ke atas ^
Keanehan-keanehan Peminta Sedekah
Syekh Syihabuddin Muhammad bin Ahmad menceritakan pula tentang kisah-kisah para peminta sedekah yang sampai kepada beliau.
( i )
Di antaranya kisah seorang peminta sedekah yang datang ke sebuah rumah, lalu berseru: “Wahai tuan yang empunya rumah...” Belum sempat dia meneruskan perkataannya, tuan rumah telah bangun meninggalkannya sambil berkata: “Semoga Allah melapangkan engkau.”
“Wahai tuan rumah! Alangkah baiknya kalau engkau mendengarkan apa yang akan kukatakan terlebih dahulu. Barangkali aku datang untuk menjemputmu ke majlis kenduri kahwin.” kata si peminta sedekah. *
( ii )
Diceritakan pula bahawa seorang peminta sedekah berdiri di hadapan pintu sebuah rumah kerana mengharapkan sesuatu.
“Semoga Allah melapangkan engkau. Kami tidak punya apa-apa untuk diberikan kepada engkau.” kata tuan rumah.
“Sisa-sisa makanan pun jadi.” kata si pengemis.
“Kami tidak punya.” kata tuan rumah.
“Sedikit gandum atau syair pun jadilah tuan.”
“Kami tidak punya.”
“Secawan susu atau zait?” kata si pengemis.
“Kami tidak punya.”
“Kalau begitu, berilah saya sedikit air suam saja.”
“Kami tidak punya apa-apa.”
“Kalau begitu, apa yang engkau buat di dalam rumah ini? Pergilah keluar mengemis. Kalian lebih patut menjadi peminta sedekah daripada saya.” kata si pengemis lalu pergi. *
( iii )
Syekh Syihabuddin menceritakan pula bahawa seorang pengemis telah berseru di hadapan sebuah rumah: “Tuan, kami lapar, berilah sesuap makanan.”
“Engkau berbohong.” kata tuan rumah.
“Betul tuan. Kalau tidak percaya, tuan boleh cuba aku dengan dua kati roti dan dua kati daging. Nescaya ia akan habis sebagai tanda bahawa kami betul-betul lapar.” kata si pengemis.
^ Kembali ke atas ^
Minta 70 Dulang Otak Manusia
Semasa masih dalam Yahudi, Abdullah bin Saba’ telah mengatakan bahawa Yusa’ bin Nun telah mendapat wasiat dari Nabi Musa Alaihissalam tentang kepimpinan selepasnya. Apabila masuk Islam, dia mempromosikan ideanya pula yang mengatakan bahawa Ali bin Abi Thalib telah mendapat wasiat dari Nabi Muhammad SAW agar memegang kepimpinan sesudah kemangkatan baginda.
Abdullah bin Saba’lah yang mula-mula mengatakan bahawa imamah itu adalah hak Ali bin Abi Thalib, dan dia telah mencerca sahabat-sahabat yang lain. Dia berkata bahawa Ali bin Abi Thaliblah yang menyuruhnya agar mengeluarkan perkataan tersebut. Apabila Ali mendengar perkara tersebut, beliau telah memerintahkan agar Abdullah bin Saba’ ditangkap dan dibunuh. Akan tetapi ketika hukuman akan dijalankan, beberapa orang pendukungnya telah menghalangnya dengan suatu alasan. Kemudian Ali membuang bekas tokoh Yahudi itu ke Madain. Walau bagaimanapun, Abdullah bin Saba’ masih tetap mempertahankan ideanya kerana memang bertujuan ingin menggoncang aqidah umat Islam dari dalam.
Ketika berita kewafatan Khalifah Ali telah tersebar, Abdullah bin Saba’ menyumpah-nyumpah membantah dan tidak mempercayainya. Dia telah berkata kepada orang yang membawa berita itu: “Engkau telah berbohong! Walaupun engkau bawa ke sini otak Ali dalam tujuh puluh dulang dan engkau bawa tujuh puluh orang saksi yang adil mengakui bahawa Ali telah terbunuh, aku tetap tidak mempercayainya. Aku tahu bahawa Ali tidak akan mati dan tidak akan terbunuh. Sesungguhnya beliau tidak akan mati sehinggalah beliau menguasai seluruh muka bumi ini.”
Apa yang jelas, Sayyidana Ali bin Abi Thalib memang wafat terbunuh, kerana beliau adalah manusia biasa juga.
^ Kembali ke atas ^
Rahsia Alif, Lam, Mim Dalam Surat Khalifah
Diceritakan bahawa Sultan Mahmud telah mencabar Khalifah Al-Qadir Billah di Baghdad, mungkin kerana timbul suatu perselisihan faham. Sultan Mahmud menghantar utusan kepada Khalifah Al-Qahir dengan membawa surat ugutan bahawa beliau sanggup menghantar pasukan bergajah untuk melanggar dan memporak perandakan Baghdad. Diterangkannya pula bahawa gajah-gajahnya boleh mengangkat bumi Baghdad dan dibawa ke Ghazanah.
Khalifah Al-Qadir tidak tinggal diam, beliau terus mengirim surat cabaran. Anehnya surat Khalifah hanya mengandungi tiga huruf saja iaitu: ( Alif, Lam, Mim ) Sultan bingung ketika menerima surat tersebut kerana tidak faham apa maksudnya. Beliau memanggil pakar-pakar bahasa, tapi mereka juga tidak mengetahui maksudnya. Ahli-ahli Tafsir dan Al-Quran juga dipanggil dan mereka berusaha mempadan-padankan surat Khalifah itu dengan surah-surah di dalam Al-Quran yang diawali dengan huruf Alif Lam Mim, tapi tidak sesuai. Ia tidak dapat dihubung kaitkan dengan kandungan surat Khalifah yang dihantar kepada Sultan.
Dalam keadaan Sultan bingung mencari orang yang lebih pakar lagi, tampil seorang pemuda yang selama ini tidak diambil kira oleh mereka.
“Kalau Sultan mengizinkan, saya cuba untuk mempelajari rahsia surat itu.” kata si pemuda.
Para pegawai istana melaporkan tawaran si pemuda kepada Sultan, dan baginda mengizinkannya.
“Panggil dia ke sini.” kata Sultan.
Si pemuda masuk dan surat itu pun dihulurkan kepadanya. Setelah berfikir beberapa minit, si pemuda bertanya: “Apakah Sultan pernah menghantar surat kepada Khalifah yang berisi ugutan untuk menyerang dengan menggunakan tentera bergajah?”
“Betul, betul. Tapi apa hubungannya?” tanya Sultan.
“Kalau begitu, Khalifah telah menghantar surat kepadamu yang ertinya: “Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka’bah) itu sia-sia?”
(Al-Fil: 1-2)
“Oh... betul tuanku. Khalifah telah menyahut cabaran tuanku.” kata para pakar bahasa dan Tafsir hampir serentak. Sultan merasa gembira dan berterima kasih kepada si pemuda dan diberinya hadiah yang banyak. Mereka juga merasa gelihati sendiri kerana telah berpusing-pusing membongkar Tafsir dan mengkaji surah-surah yang dimulakan dengan Alif lam mim, tapi ternyata ia hanyalah hujung surat Al-Fil.*
Aristotles berkata: “Orang yang berakal dapat menangkap fikiran orang yang berakal. Sedang orang yang bodoh tidak dapat menerima fikiran orang yang berakal, bahkan tidak dapat menerima orang bodoh.”
Sabtu, 15 November 2008
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar