KEPAYAHAN DALAM KESENANGAN
BERITA pembentukan kabinet sulung Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi amat dinantikan oleh kita semua. Perubahan dalam pengekalan struktur yang ingin dibawa oleh PM kita dianalisa oleh pelbagai pihak. Ramai yang memerhati bahawa perubahan dalam pengekalan tersebut masih tidak lari dari usaha PM yang ingin membanteras rasuah dan menyuburkan Islam Hadhari beliau. Namun rata-rata yang masih kekal, terdiri dari senarai mereka yang berisiko tinggi dalam kedua perkara tadi. Persoalannya, adakah banteras rasuah sekadar gimik dan ingin terus kukuh berkuasa?
Mungkin PM yang baru ingin selesa dalam mencari kesenangan dalam memburu cita-cita beliau yang kita tidak akan tahu. Kesenangan boleh kita perolehi jika kita mengikut jalan mudah. Sebagai contoh, menjadi kaya dengan mudah boleh dengan mencuri. Ingin merasa nikmat seks, jalan paling mudah dan senang adalah terjebak ke lembah hina tersebut. Namun, sedarkah kita usaha dakwah tidak dibentangi dengan permaidani merah, tetapi penuh dengan onak dan duri sehingga titisan darah yang jelas kita saksikan berlaku kepada Rasul SAW. Kenapa kita masih tidak menyedari hakikat tersebut yang seolah dipinggirkan.
Pilihanraya Umum ke 11 masih terus menjadi igauan buruk pada pihak pembangkang. Dilihat secara kasar, pembangkang berdepan dengan SPR tanpa pihak UMNO bersusah payah letih. Pembangkang tiada saluran untuk dihebahkan kepada masyarakat, namun pihak Barisan Nasional tidak perlu bersusah payah untuk berkempen, cukup sekadar makan nasi bungkus berlaukkan tomyam. Kepayahan dan jerih letih amat berharga jika disusuli dengan kemenangan. Jika gagal sekalipun, berasa puas kerana berusaha untuk mencapai kemenangan dengan pelbagai sekatan dan undang yang seolah menyekat suara untuk terus bersuara. Bersusah payah menurut undang yang diperuntukkan oleh SPR, bekerja dengan penuh semangat dan iltizam perjuangan menjadi titik perbezaan ketara antara pembangkang dan pihak BN.
Sejarah perjuangan menegakkan kalimah Allah tidak diperolehi dengan mudah. Kita perlu meyakini bahawa detik mencapai kemenangan tidak akan kita perolehi dengan mudah sehingga kita benar-benar memperjuangkan Islam. Kita kena akui, musuh Islam adalah terlalu licik dan pelbagai cara digunakan untuk mempengaruhi fikiran rakyat. Kita lihat sahaja pengorbanan As Syahid Syeikh Ahmad Yasin serta penduduk Palestin yang terpaksa melawan Israel Laknatullah dengan segala kekurangan. Tidakkah kita malu mereka disana yang serba kekurangan terus berjuang menegakkan Islam, kita di Malaysia masih mampu bersenang lenang tanpa sedikit usaha dan pengorbanan kita hulurkan.
Masa akan terus beredar meninggalkan segala angan-angan dan perancangan kita. Adakah kita menunggu waktu yang sesuai atau kita menunggu kesenangan dikecapi barulah berjuang?Jika begitu, silakan dan tidak mustahil generasi akan datang akan hanyut kerana kesilapan kecil kita sahaja. Adakah kita mahu merosakkan generasi selepas ini?Berjuang tidak semestinya kita mengangkat senjata, tetapi dengan biah kita sekarang adalah menyampaikan yang hak dan menyahkan yang batil. Itu sahaja. Tidak tahulah jika masih ada antara kita yang inginkan kesenangan dalam hidup dan membiarkan mereka yang lain terus mundur bukan sahaja dari kehidupan, malah rohani juga mundur. Saya masih lagi berkira-kira bilakah hasrat ini akan tercapai. Hidup dalam kepayahan di antara suasana yang senang berbeza dengan suasana yang berlaku di Palestin. Hidup dalam suasana kepayahan dan tiada kesenangan.
Walaupun kita dijanjikan oleh kerajaan untuk diberi bantuan dan seumpamanya, kita sebenarnya perlu terus berdakwah menyampaikan risalah Islam dengan fahaman yang jelas. Ada hikmah disebalik PIlihanraya Umum ke 11 dimana kita tidak boleh leka untuk menyebarkan uslub terbaik walaupun di situ kita melihat kepayahan yang akan berlaku disebalik kesenangan kita berada sekarang. Ya, memang kita hidup senang dan aman, tetapi jerih perjuangan masih belum kita kecapi. Tidak guna kita hidup aman dan selesa, jika kita terus mengabaikan tugas dakwah kita walaupun disitu kita meyakini, kita akan hidup melarat dan disekat serta dizalimi oleh pihak berwajib. Sanggupkah kita?
Kita berdoa agar suatu hari nanti, segala jerih perit dan kepayahan kita menyampaikan dakwah akan diterima dan tidak mustahil, kita tidak lagi hidup kesusahan, namun bukan sahaja aman dan damai, malah bahagia hingga kita mengecapi hakikat sebenar di syurga nanti. Kita doakan!
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar