Selasa, 11 November 2008

Massa dan Globalisasi

MASSA DAN GLOBALISASI: SEMAKIN MENGUJI SENSIVITI
oleh : Mohammad Hilmy Mahmad

Ledakan teknologi di Malaysia bermula awal 90an setelah diwarwarkan Wawasan 2020 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Industri, sektor kerajaan, individu di Malaysia mengambil peluang yang dibentangkan oleh dasar kerajaan untuk menggerakkan pembangunan teknologi canggih untuk merealisasikan negara maju menjelang 2020. Penubuhan Koridor Raya Multimedia disusuli dengan panel penasihat asing, keterbukaan teknologi di Malaysia dilihat semakin ke depan. Malah pada hari ini, segala yang berlaku di sekeliling kita diuji dengan teknologi. Prasarana dan infrakstruktur terpaksa disambut oleh sektor lain untuk sama-sama membangunkan e-kerajaan, e-ekonomi dan beberapa istilah yang lain.

Perkembangan tersebut dilihat dari sudut berlainan, amatlah penting dan berguna. Namun tidak terkecuali wujud masalah yang besar menimpa selepas era 'global village' ini. Penularan budaya barat yang semakin mencengkam Malaysia, khususnya umat Islam amatlah bercanggah dengan kehendak Islam sebenar. Jika zaman nenek kita, unsur-unsur menghina Islam tidak wujud di dalam siaran televisyen. Tetapi stesen kepunyaan kerajaan mahupun swasta berebut menayangkan rancangan atau siaran yang kadangkala menghina Islam. Judul filem mahupun drama mutakhir ini semakin berani mempermainkan kalimah tuhan, bermain dengan nama Islam, namun tiada langkah pencegahan dilakukan. Sebaliknya di zaman digital ini, kisah tahyul, seram dan misteri terus dipertontonkan kepada khalayak masyarakat yang sebelum ini hanya sebagai bahan picisan majalah dan tabloid murahan. Jika dulu orang tua marah jika filem melayu ada unsur lucah, tetapi sekarang dengan selamba, sikit demi sedikit unsur tersebut dibawa dan akhirnya apa akan terjadi pada masa akan datang, tidak mustahil adegan peluk dan cium akan menjadi bahan santapan kebiasaan kalangan melayu Islam sebagaimana di Indonesia.

Kelajuan globalisasi juga mengakibatkan wujud budaya tidak sihat dikalangan masyarakat. Sumbang mahram semakin menjadi berita harian kalangan warga Malaysia. Masalah judi sudah menjadi trend dikalangan melayu Islam dan tidak segan silu beratur panjang untuk membeli nombor. Arak pula dilihat sudah mula diminum oleh umat Islam Malaysia didepan masyarakat. Usaha pencegahan tidak berhasil sebaliknya pelacuran dan dadah terus berleluasa seperti menjadi rutin harian di Malaysia. Bahkan Ketua Barisan Nasional Bukit Bintang, meminta kerajaan mengiktiraf golongan mak yah sebagai sumber komersial dan ekonomi. Globalisasi yang diwarwarkan akan terus menjatuhkan maruah Islam di Malaysia sebenarnya. Jika tidak percaya, mengambil contoh jika seseorang lelaki memakai serban, lengkap berjubah dan tasbih di tangan, maka perkara tersebut akan menjadi pelik dan ganjil di mata masyarakat Malaysia, sedangkan perempuan yang berpakaian seksi, terdedah pusat, sudah menjadi pandangan biasa. Lakukan jika tidak percaya!

Tugas kita sudah lama terpundak, jika nenek dan atuk kita yang belajar agama menyampai risalah dakwah dengan suasana yang masih tenang ketika itu, kita sekarang perlu bangun dengan pantas sederas teknologi bahkan lebih lagi. Kita tidak boleh berkurung kerana takut terjebak dengan keadaan yang melanda, tetapi harus berada di landasan yang mencabar ini dan tidak mengalah dengan suasana sekeliling. Setiap diri kita perlu mencari jiwa yang kental dan ketahanan yang kukuh untuk menangkis segala kemungkinan. Iman dan taqwa perlu disebatikan supaya tidak menjadi masalah di Malaysia kelak.

Teringat seketika suatu masa sebelum ini, pihak berkuasa melarang keras menulis kalimah Allah, Muhamad di dalam sebarang bahan bercetak untuk mengelak dihina, namun sekarang bukan sekadar itu sahaja, malah nabi SAW dihina dan penerbitan mendapat kelulusan. Juga dilarang dahulu, menulis kalimah Allah, Muhamad di atas wang kertas untuk mengelak dibawa ke tandas dan disimpan poket seluar belakang, tetapi dinar emas keluaran Bank Negara tertulis kalimah Allah dan Muhamad SAW di atas syiling yang juga dibawa ke merata tempat dan tidak mustahil letaknya dipoket seluar belakang. Memang sudah berubah!
Di akhir bicara, ingin berkongsi cerita dengan pembaca, ketika Salahudin Al Ayubi berjaya menawan kota Baitul Maqdis, beliau ditanya oleh seorang tua kristian. Kenapa tuan tidak bertindak balas terhadap musuh-musuhmu. Salahudin Al Ayubi menjawab, Islam bukanlah agama pendendam bahkan sangat mencegah dari melakukan perkara diluar perikemanusiaan, Islam menyuruh umatnya menepati janji, memaafkan kesalahan orang lain yang meminta maaf dan melupakan kekejaman musuh ketika berkuasa walaupun ketika musuh berkuasa, umat Islam ditindas. Maka orang tua tersebut berkata " Sungguh indah agama tuan! Maka diakhir hayatku ini, bagaimana untuk aku memeluk agamamu?". Jawab Salahudin mengucaplah akan dua kalimah syahadah.
Peristiwa tersebut sekurangnya menjadi kekuatan kita untuk mempertahankan kesucian agama Islam yang tercinta dari terus diperkotak katikkan oleh musuh Islam bahkan umat Islam sendiri. Islam sendiri mengajar tatasusila yang tidak bertentangan dengan kemanusiaan dan hak asasi. Maka sensitiviti kita sebenarnya sudah mencapai tahap yang tinggi!!

0 komentar:

Template by:
Free Blog Templates