Wasiat Dari Perkuburan
| Rahsia Syair Di Atas Perkuburan | Amanah Seorang Sahabat |
| Terkena Api Di Kuburan | Nikmat Ahli Kubur |
.
Rahsia Syair Di Atas Perkuburan
.. eorang soleh bercerita bahawa pada suatu hari dia datang ke sebuah desa dan melihat tiga kuburan sebaris di tempat yang berdekatan. Dia tertarik terhadap ketiga-tiga kuburan tersebut kerana di atasnya ada tertulis beberapa rangkap syair.
Pada kubur pertama tertulis syair: Bagaimana orang yang tahu Tuhan akan menyoalnya
merasa seronok dan lazat dalam hidupnya?
Dia akan menyeksa orang yang zalim dalam hidupnya
dan akan membalas baik orang yang baik amalnya Pada kubur kedua tertulis: Bagaimana akan terasa lazat kehidupan ini
bagi yang meyakini kematian akan datang
merenggut dalam sekelip mata dan tiba-tiba
kematian akan menghempapnya dengan kerajaan
yang besar dan megah
dan akan menempatkannya di dalam kubur sempit
sememangnya dia adalah calon penghuninya Pada kubur ketiga terdapat syair: Bagaimana akan terasa lazat kehidupan ini
bagi yang sedar dirinya akan pindah ke kubur
di sanalah pemuda akan digugat kedudukannya
wajah jelita yang yang dibanggakan
akan lenyap serta merta
tinggallah badan dan anggota menanggung seksa Orang soleh tadi pergi kepada seorang tua yang banyak tahu tentang cerita desanya.
“Wahai Syeikh! Aku melihat sesuatu yang ajaib di dalam desamu ini.” kata orang soleh.
“Apa itu?” tanya Syeikh.
“Aku berjumpa dengan tiga pusara yang masing-masing di atasnya tertulis beberapa syair.” kata orang soleh sambil membacakan kandungan syair-syair yang telah dilihatnya.
“Sebetulnya cerita ketiga-tiga ahli kubur tersebut lebih ajaib daripada rangkap-rangkap syair yang kamu lihat di atas kuburnya.”
“Apa itu,? Sila ceritakan kepadaku.”
Syeikh menceritakan bahawa penghuni ketiga-tiga kubur itu adalah tiga orang adik beradik yang pekerjaannya berlainan. Yang pertama seorang zuhud, yang kedua seorang gabenor yang berkuasa dan yang ketiga seorang saudagar kaya. Walaupun berlainan profesi, ketiga-tiganya hidup rukun dan saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain.
Suatu ketika saudara yang zuhud sakit, dan apabila dirasa bahawa ajalnya sudah hampir, berkumpullah kedua-dua suadaranya yang lain sambil menanyakan halnya. Mereka menawarkan kepada si zahid untuk mensedekahkan hartanya bagi kepentingan saudaranya yang hampir meninggal itu. Akan tetapi dia menolak.
“Aku tidak berhajat kepada hartamu. Akan tetapi aku minta kepadamu berdua agar berjanji kepadaku akan sesuatu yang tidak akan kamu mungkiri selepas kematianku nanti.”
“Boleh, sila katakan, apa hajatmu?”
“Apabila aku mati, kamu mandikan, kafankan dan solatkan mayatku. Setelah itu kamu kebumikan di bumi yang agak tinggi. Setelah itu tuliskan di pusaraku itu dua rangkap syair ini: Bagaimana orang yang tahu Tuhan akan menyoalnya
merasa seronok dan lazat dalam hidupnya
Dia akan menyeksa orang zalim dalam hidupnya
dan akan membalas baik orang yang baik amalnya “Selepas itu hendalah engkau berdua datang ke kuburku setiap hari dan baca syair itu, semoga ia akan menjadi pengajaran bagimu berdua.”
Setelah berwasiat demikian, dia pun meninggal dunia. Dua adik beradiknya melaksanakan apa yang diamanahkan kepadanya. Setiap hari kedua-duanya datang dan membaca syair itu sehingga menangis. Adik yang menjadi gabenor datang dengan mengenderai kuda bersama askar-asakarnya. Dia berdiri di sisi kubur abangnya sambil membaca syair tersebut dan menangis kerana kandungannya mengena pada dirinya. Pada hari ketiga, dia datang lagi sebagaimana biasa sambil diiringkan oleh askar-askaranya, lalu berdiri di sisi pusara membaca syair dan menangis. Apabila dia akan pulang, tiba-tiba mendengar bunyi benturan yang kuat dari dalam kubur yang menyebabkan hatinya gementar. Kemudian pulang dengan perasaan takut, gementar dan risau. Pada sebelah malamnya pula dia bermimpi melihat abangnya datang.
“Wahai abangku, bunyi apa yang aku dengar dari dalam kuburmu semalam?”
“Itulah bunyi pukulan terhadap ahli kubur yang zalim. Dikatakan kepadaku: “Kamu lihat orang zalim itu? Mengapa engkau tidak menolongnya?” jawab abangnya.
Sebaik saja terjaga dari tidurnya, si gabenor itu resah dan dipenuhi rasa takut dan gementar yang berterusan. Dia segera memanggil saudaranya yang menjadi saudagar dan menceritakan tentang mimpinya.
“Wahai saudaraku, aku yakin bahawa Allahyarham tidak berwasiat agar menuliskan rangkap syair itu di atas pusaranya melainkan hanya untuk memberi peringatan kepadaku.” kata gabenor kepada saudaranya yang menjadi peniaga.
Kemudian dia berkata kepada para pegawai dan orang-orang yang ada disekitarnya: “Aku persaksikan kepadamu semua, bahawa mulai saat ini aku sudah bukan pemimpinmu lagi buat selama-lamanya.”
Dia meletak jawatan serta merta buat menumpukan sisa-sisa hidupnya semata-mata untuk beribadah kepada Allah sambil mengembara ke bukit-bukit dan perkampungan sehingga ajal datang menjemputnya di hadapan sebahagian bekas rakyatnya. Pada hari-hari terakhir sebelum kewafatannya, saudaranya yang menjadi peniaga telah mendengar kabar mengenai bekas gabenor itu. Dia segera datang ke tempatnya untuk menanyakan apa-apa yang diperlukan.
“Sila berwasiat wahai saudaraku!” kata si saudagar.
“Apa yang akan aku wasiatkan. Aku sudah tidak punya apa-apa harta untuk diwasiatkan. Hanya saja aku minta kepadamu agar mahu berjanji untuk melaksanakan sesuatu setelah kematianku nanti.”
“Boleh, Sila katakan.”
“Apabila aku mati nanti, kuburkanlah di samping kubur saudaraku dan tulislah di atas pusaraku syair ini: Bagaimana akan terasa lazat kehidupan ini
bagi yang meyakini kematian akan datang
merenggut dalam sekelip mata dan tiba-tiba
kematian akan menghempapnya dengan kerajaan
yang besar dan megah
dan akan menempatkannya di dalam kubur sempit
sememangnya dia adalah calon ahlinya “Hendaklah engkau berziarah ke kuburku selepas tiga hari dari kematianku dan berdoalah kepada Allah semoga Dia merahmati arwahku.”
Setelah berwasiat demikian, bekas gabenor itu pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Saudaranya segera menyempurnakan pengurusan mayatnya sehingga selesai dikuburkan. Sebagai memenuhi janjinya, dia menulis syair yang telah ditentukan di atas pusara saudaranya itu, kemudian pulang.
Tiga hari selepas pengkebumian, si saudagar datang berziarah ke kubur saudaranya dan berdoa kepada Allah semoga arwah saudaranya dicucuri rahmat. Apabila dia membaca syair yang tertulis di pusara saudaranya itu, dia pun menangis kerana sagat terkesan akan maksudnya. Setelah itu, dia pun bersiap sedia untuk pulang, tapi tiba-tiba terdengar bunyi gegaran yang sangat hebat dari dalam kubur sehingga membuatnya terperanjat dan hampir-hampir tidak sedarkan diri. Dia pun pulang dalam keadaan sangat ketakutan.
Pada sebelah malamnya, dia bermimpi melihat saudaranya yang telah meninggal dunia datang menghampirinya.
“Wahai saudaraku, engkau datang menziarahi kami?”
“Ya. Selepas ini tidak ada ziarah lagi. Aku telah tenang dengan rumahku yang baru.
“Bagaimana keadaanmu sekarang?”
“Alhamdulillah baik.”
“Bagimana keadaan abang kita?”
“Dia berkumpul bersama umat-umat yang baik.”
“Apa pesan engkau kepadaku?
“Barangsiapa yang telah melakukan sesuatu, dia akan mendapatkannya. Oleh itu, jagalah waktu hidupmu sebelum datang masa matimu.” kata saudara yang telah mati.”
Sejak itu, si peniaga mengasingkan diri dari urusan dunianya dan hatinya sentiasa ingat pada mati. Harta kekayaannya dibagi bagikan kepada fakir miskin dan dia sendiri menumpukan hidup beribadah kepada Allah. Anaknya yang sudah jadi seorang pemuda yang segak badan dan bagus wajahnya juga bekerja sebagai peniaga yang berjaya. Beberapa masa telah berlalu. Ajal bekas saudagar yang telah jadi sufi itu pun hampir menjemputnya. Saudara mara dan anaknya telah berkumpul.
“Berwasiatlah sesuatu wahai ayah.” kata anaknya. “Wahai anakku! Ayahku sudah tidak punya apa-apa harta untuk diwasiatkan. Akan tetapi hanya minta kepadamu agar berjanji untuk melakukan sesuatu selepas kematianku.”
“Boleh, boleh. Sila katakan wahai ayah.”
“Apabila aku mati, kuburkan di dekat kubur bapa-bapa saudaramu dan tuliskan syair pada pusaraku: Bagaimana akan terasa lazat kehidupan ini
bagi yang sedar dirinya akan pindah ke kubur
di sana kedudukan pemuda akan digugat
wajah jelita yang dibanggakan
akan lenyap serta merta
tinggallah badan dan anggota menanggung seksa “Kemudian hendaklah engkau berziarah ke kuburku sehingga tiga hari. Berdoalah kepada Allah semoga Allah mencucuri rahmat kepadaku.”
“Insya Allah, saya akan melakukannya.” jawab si anak.
Setelah dia meninggal dunia, anaknya segera melakukan semua yang diamanahkan kepadanya. Dia berziarah ke kubur ayahnya setiap hari sambil berdoa untuk ayahnya dan membaca syair yang tertulis di pusaranya. Pada hari ketiga dia mendengar suara dari dalam kubur yang sangat menggerunkan dan membangkitkan bulu roma dan memucatkan muka. Dia pulang kepada keluarganya dalam keadaan takut dan gementar.
Pada sebelah malamnya pula, dia bermimpi melihat ayahnya datang sambil berkata: “Wahai anakku! Sesungguhnya engkau berada sangat dekat denganku, duniamu sudah berada di penghujungnya dan maut lebih dekat dari itu lagi. Oleh kerana itu bersiap sedialah engkau untuk menempuh perjalananmu dan periksalah keadaan kenderaanmu. Alihkan perhatianmu dari melengkapi isi rumah yang engkau tempati sekarang pada rumah yang bakal engkau tempati buat selama-lamanya. Janganlah engkau tertipu seperti orang-orang sebelummu yang telah tertipu oleh keinginan pada harta sehingga tidak sempat membuat persediaan untuk pergi. Akibatnya, mereka menyesal yang tidak berkesudahan setelah mati. Padahal penyesalan ketika itu sudah tidak ada maknanya lagi. Wahai anakku! Segera laksanakan, segera laksanakan!.”
Mimpi pemuda terhenti, kerana dia terjaga dari tidurnya dalam keadaan terkejut dan takut serta faham apa yang akan terjadi pada dirinya. Pada sebelah paginya dia pun segera mengerjakan apa-apa yang perlu. Semua hutang-hutangnya dijelaskan, hartanya disedekahkannya kepada fakir miskin. Pada pagi hari ketiga dari hari bermimpi, dia memanggil semua keluarganya dan anaknya kemudian berwasiat dan mengucapkan salam.
Setelah itu dia menghadap Kiblat, mengucapkan dua kalimah Syahadah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Orang ramai datang berpusu-pusu menguruskan mayatnya dan berziarah ke kuburnya serta berdoa di sana.
Radiallahu 'anhum.
^ Kembali ke atas ^
Amanah Seorang Sahabat
Diceritakan bahawa ada dua orang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah s.w.a. berteman baik saling ziarah menziarahi antara satu dengan lainnya. Mereka adalah Sha’b bin Jastamah dan Auf bin Malik.
“Wahai saudaraku, sesiapa di antara kita yang pergi (meninggal dunia) terlebih dahulu, hendaknya saling kunjung mengunjungi.” kata Sha’b kepada Auf di suatu hari.
“Betul begitu?” tanya Auf.
“Betul.” jawab Sha’b.
Ditakdirkan Allah, Sha’b meninggal dunia terlebih dahulu. Pada suatu malam Auf bermimpi melihat Sha’b datang mengunjunginya.
“Engkau wahai saudaraku?” tanya Auf.
“Benar.” jawab Sha’b.
“Bagaimana keadaan dirimu?”
“Aku mendapatkan keampunan setelah mendapat musibah.”
Apabila Auf melihat pada leher Sha’b, dia melihat ada tanda hitam di situ.
“Apa gerangan tanda hitam di lehermu itu?” tanya Auf.
“Ini adalah akibat sepuluh dinar yang aku pinjam dari seseorang Yahudi, maka sila tolong jelaskan hutang tersebut. Ketahuilah wahai saudaraku, bahawa tidak satupun kejadian yang terjadi di dalam keluargaku, semua terjadi pula setelah kematianku. Bahkan terhadap kucing yang matipun dipertanggungjawabkan juga. Ingatlah wahai saudaraku, bahawa anak perempuanku yang mati enam hari yang lalu, perlu engkau beri pelajaran yang baik dan pengertian baginya.”
Perbualan di antara kedua-dua lelaki yang bersahabat itu terhenti kerana Auf terjaga dari tidurnya. Dia menyedari bahawa semua yang dimimpikannya itu merupakan pelajaran dan peringatan baginya. Pada sebelah paginya dia segera pergi ke rumah keluarga Sha’b.
“Selamat datang wahai Auf. Kami sangat gembira dengan kedatanganmu.” kata keluarga Sha’b. “Beginilah semestinya kita bersaudara. Mengapa anda datang setelah Sha’b tidak ada di dunia?”
Auf menerangkan maksud kedatangannya iaitu untuk memberitahukan semua mimpinya malam tadi. Keluarga Sha’b faham akan semuanya dan percaya bahawa mimpinya itu benar. Mereka pun mengumpulkan sepuluh dinar dari wang simpanan Sha’b sendiri lalu diberikan kepada Auf agar dibayarkan kepada si Yahudi.
Auf segera pergi ke rumah si Yahudi untuk menjelaskan hutang Sha’b.
“Adakah Sha’b mempunyai tanggungan sesuatu kepadamu?” tanya Auf.
“Rahmat Allah ke atas Sha’b Sahabat Rasulullah S.A.W. Benar, aku telah memberinya pinjaman sebanyak sepuluh dinar.” jawab si Yahudi.
Setelah Auf menyerahkan sepuluh dinar, si Yahudi berkata: “Demi Allah dinar ini serupa benar dengan dinarku yang dipinjamnya dulu.”
Dengan demikian, Auf telah melaksanakan amanah dan pesan saudara seagamanya yang telah meninggal dunia.
^ Kembali ke atas ^
Terkena Api Di Kuburan
Diceritakan dari Ibnu Hajar bahawa serombongan orang dari kalangan Tabi’in pergi berziarah ke rumah Abu Sinan. Baru sebentar mereka di rumah itu, Abu Sinan telah mengajak mereka untuk berziarah ke rumah jirannya.
“Mari ikut saya ke rumah jiran untuk mengucapkan ta’ziah atas kematian saudaranya.” kata Abu Sinan kepada tetamunya.
Sesampainya di sana, mereka mendapati saudara si mati sentiasa menangis kerana terlalu sedih. Para tetamu telah berusaha menghibur dan memujuknya agar jangan menangis, tapi tidak berjaya.
“Apakah kamu tidak tahu bahawa kematian itu suatu perkara yang mesti dijalani oleh setiap orang?” tanya para tetamu.
“Itu aku tahu. Akan tetapi aku sangat sedih kerana memikirkan seksa yang telah menimpa saudaraku itu.” jawabnya.
“Apakah engkau mengetahui perkara yang ghaib?”
“Tidak. Akan tetapi ketika aku menguburkannya dan meratakan tanah di atasnya telah terjadi sesuatu yang menakutkan. Ketika itu orang-orang telah pulang, tapi aku masih duduk di atas kuburnya. Tiba-tiba terdengar suara dari dalam kubur “Ah....ah....Mereka tinggalkan aku seorang diri menanggung seksa. Padahal aku mengerjakan puasa dan solat”. Jeritan itu betul-betul membuatku menangis kerana kasihan. Aku cuba menggali kuburnya semula kerana ingin tahu apa yang sudah terjadi di dalamnya. Ternyata kuburan itu telah penuh dengan api dan di leher si mayat ada rantai dari api. Kerana kasihan kepada saudara, aku cuba untuk melepaskan rantai itu dari lehernya. Apabila aku hulurkan tangan untuk membukanya, tanganku terbakar.”
Lelaki itu menunjukkan tangannya yang masih hitam dan mengelupas kulitnya kerana kesan api dari dalam kubur kepada tetamu. Dia meneruskan ceritanya: “Aku terus menimbus kubur itu semula dan pulang dengan segera. Bagaimana kami tidak akan menangis apabila mengingati keadaan itu?”
“Apa yang biasa dilakukan oleh saudaramu ketika di dunia?” tanya teman-teman Abu Sinan.
“Dia tidak mengeluarkan zakat hartanya.” jawabnya.
Dengan jawapan ini, teman-teman Abu Sinan membuat kesimpulan tentang kebenaran ayat Suci Al-Quran surah Ali Imran yang ertinya: “Janganlah mereka yang bakhil itu menyangka terhadap rezeki yang diberikan oleh Allah kepada mereka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat.”
(Ali Imran, 180)
^ Kembali ke atas ^
Nikmat Ahli Kubur
Seorang soleh bernama Mutraf bin Abdullah Al-Harsyi bercerita bahawa pada suatu hari Jumaat dia keluar ke kuburan, kemudian mengerjakan solat dua rakaat yang sederhana, tidak terlalu panjang. Selepas solat, tiba-tiba dia mengantuk dan melihat penghuni kubur keluar bercakap dengannya. “Engkau telah mengerjakan sesuatu yang tidak dapat dikerjakan olehku. Padahal dua rakaat itu bagiku lebih baik daripada dunia dan seisinya ini.” kata salah seorang ahli kubur.
“Kuburan siapa saja yang ada di sini?” tanya Mutraf.
“Kuburan orang yang baik-baik dan kesemuanya Muslim.” jawab ahli kubur.
“Siapakah yang paling mulia di kalangan ahli-ahli kubur di sini?” tanya Mutraf.
“Kuburan itu.” jawab ahli kubur sambil menunjuk pada sebuah kuburan yang ada di situ.
Mutraf sangat ingin mengetahui ahli kubur yang dikatakan paling mulia itu. Dia berharap semoga Allah berkenan mengeluarkan ahli kubur yang dimaksudkan agar dia dapat bercakap dengannya.
Harapan Mutraf dikabulkan oleh Allah. Tiba-tiba ahli kubur yang masih muda belia tersebut keluar dari kuburnya dalam keadaan gembira.
“Betulkah engkau ahli kubur yang paling mulia di sini?” tanya Mutraf.
“Mereka mengatakan bahawa diriku demikian.” jawabnya.
“Apa yang telah menyebabkan dirimu menjadi ahli kubur yang paling mulia?”
Ahli kubur yang masih muda belia itu menjawab: “Walaupun aku masih muda, tapi telah banyak mengerjakan ibadah haji dan umrah, berperang di jalan Allah dan beramal soleh. Di samping itu, setiap kali aku ditimpa musibah, aku selalu bersabar dan tawakal kepada Allah. Itulah yang menyebabkan aku memperolehi kumuliaan tersebut.”
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar