REFORMASI PENA PERSADA BAKANS
________________________________________
SEBENARNYA dari dulu sudah ditanya soalan mengenai minat tentang penulisan. Hanya tersenyum dan mendiamkan diri adalah jawapan yang dirasakan paling sesuai. Maklumlah, zaman pelajar tiada ruang untuk menulis secara serius berbanding sekadar untuk peperiksaan. Jika disuruh menulis, hanya paksaan bukan minat atau kerelaan. Bagi yang menggunakan kesempatan yang hadir, mungkin akan mempergunakan sebaik mungkin penulisan. Penglibatan menyeluruh mungkin sukar untuk dilaksanakan kerana ruang lingkup yang terhad.
Di awal kedatangan ke bumi Mesir, soalan tadi masih belum dapat dijawab secara total. Tidak mendapat tahu bidang ini tersebar luas. Mendengar dan mengetahui adalah dua perkara yang berbeza. Mendengar tidak semestinya bidang ini sudah meluas, tetapi sekurangnya mungkin ada tangan yang sudah pandai menarikan pena. Tetapi, secara jujur tidak kenal dan tahu ada insan yang bergiat memperjuangkan pena. Maka, soalan masih belum ada jawapan.
Sekarang hampir berada dihujung pengajian. Secara jujur, penulisan sudah diterima oleh khalayak BAKANS sendiri. Agak terkejut sedikit, warga muda BAKANS mengorak langkah bertenaga. Dipelopori oleh seorang, sekarang kedengaran sudah ada yang berani mencuba. Tidak mustahil, suara yang membantah akan terus tenggelam dengan lautan dakwat pena ahli BAKANS.
Kisah yang sudah dipaparkan oleh segelintir ahli BAKANS yang berkecimpung di dalam egroups BAKANS amat dialukan. Pelbagai juadah dan rasa dituang oleh mereka yang sememangnya minat dalam penulisan. Berasa minat tanpa kesungguhan rasanya belum mencapai tahap yang diperlukan untuk menggerakkan jentera penulisan di BAKANS. Jika sudah berminat, ada kesungguhan tanpa sokongan dan dokongan juga tidak berguna. Apalah ertinya kita bekerja seorang diri tatkala memerlukan tenaga dan keperluan di dalam penulisan. Bakat muda perlu digarap dan diisi secepat yang mungkin. Tugas UPT bukan sekadar memenuhkan siri edisi GN semata- mata, tetapi wajib mencungkil bakat yang tersimpan rapi dicelah habuk di bumi Mesir ini.
Mungkin sudah bosan dan jemu dengan paparan lapuk yang sudah bertahan lama, menunggu busuk yang amat, baru akan muncul pembaharuan lain. Ibarat kita menyimpan benda yang busuk, akhirnya akan dibuang jua lantaran terlalu lama. Begitu juga mereka yang memikirkan apa yang ada pada penulisan, namun sedarkah mereka pena adalah paling tajam berbanding pedang.
Bidang ini seharusnya tidak lari terlalu deras. Takut ada nanti ditengah jalan terjelupak jatuh, lalu tersembam ke tanah. Jika sekadar jatuh dan boleh bangun tidak mengapa, takut nanti terus mati seperti mana matinya rumput yang menghijau. Sambutan yang menggalakkan dalam sayembara tidak harus dijadikan kayu pengukur untuk berbangga. Usaha harus diteruskan dan yang paling penting, istiqamah.
Harapan sebelum pulang semula ke tanahair, sudah ada jawapan yang yakin dan pasti boleh saya jawab kelak. Saya tidak akan berasa kurang tenang. Bahkan saya akan berasa berbangga dengan kehebatan anak-anak BAKANS. Usah diragui kemampuan, usah ditakuti kritikan, usah berasa gundah dengan celaan. Terus kedepan dan insyaAllah ada jalan yang mudah nanti. Yakinlah dengan mata pena anda!
Selasa, 11 November 2008
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar